Mendaki Gunung Brinchang, Cameron Highland

Pahang adalah antara negeri yang kaya dengan keluasan hutan simpan dan gunung-ganang. Cameron Highland menjanjikan kepuasan kepada mereka yang teringin merasai suasana dingin dan sejuk di tanah tinggi. Selain terkenal dengan tanaman strawberi dan ladang teh yang terbentang luas, Cameron Highland juga menyajikan peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri secara lebih dekat akan panorama alam di sekitarnya.

Kawan saya di lereng Gunung Berinchang
 Apartment ini sebagai landmark yang boleh dijadikan petunjuk mencari titik mula Jungle Walk No.1




Simpang menuju titik mula Jungle Walk No.1
    Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sana adalah jungle trekking dan hiking ke puncak Gunung Berinchang. Beberapa denai hutan dibuka untuk menjadi pilihan penggemar-penggemar aktiviti merentas hutan. Antara laluan yang menjadi pilihan ramai adalah Jungle Walk No. 1. Laluan ini berakhir di puncak Gunung Berinchang.

     Walaupun pertama kali berada di Cameron Highland, saya dan tiga orang kawan baik mengambil peluang mendaki gunung yang beraltitud 2,032 meter itu. Untuk ke puncak, ada dua pilihan iaitu:

Papan Tanda di titik permulaan Jungle Walk No. 1
1. Memulakan pendakian berjalan kaki sejauh 3 km dari titik permulaan Jungle Walk No. 1 iaitu dari Pekan Brinchang. Titik mula terletak di simpang selepas Pekan Brinchang. Simpang tersebut terletak sebelah kiri jalan utama berhadapan sebuah apartment. Anda boleh parkir kenderaan anda di tempat yang disediakan sebelum denai hutan itu. Anda akan melalui kebun-kebun sayur dan merentasi hutan gunung.



Papan tanda di pertengahan pendakian

Jangan risau, denai yang dilalui mudah untuk dikesan. Mana-mana laluan yang popular adalah lebih sukar untuk sesat. Beberapa papan tanda diletakkan sepanjang laluan denai menandakan jarak yang sudah dilalui. Pendakian kami mengambil masa 1 jam dan 30 minit. Untuk kembali ke pekan, anda boleh menyusuri kembali laluan tadi atau jalan bertar sepanjang 12km untuk tiba di Pekan Berinchang.


Pintu masuk ke Mossy Forest

     Dalam perjalanan turun melalui jalan raya bertar itu, anda akan tiba di pintu masuk ke Mossy Forest. Laluan kayu ada disediakan untuk menyusuri hutan yang unik itu. Selepas laluan kayu itu tamat, anda boleh teruskan perjalanan anda ke Gunung Irau, gunung tertinggi di Cameron Highland selepas Gunung Berinchang. Namun, kami belum lagi berpeluang untuk ke gunung itu. Walaupun memenatkan, usaha anda berbaloi kerana anda akan menyaksikan pemandangan ladang teh BOH Sungai Palas yang terbentang luas menghijau. Anda juga akan melalui kebun-kebun sayur seperti kobis. Jumlah jarak yang kami tempuhi dari awal pendakian sehingga tiba semula di Pekan Brinchang adalah 15 km.
 


Ladang Teh BOH, Sungai Palas


2. Cara kedua adalah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan. Kalau tak tahu mana nak tempah perkhidmatan ini, anda boleh memandu sendiri untuk sampai ke puncak. Namun, awas kerana jalan tersebut sempit dan berliku-liku. Ada beberapa selekoh yang membataskan penglihatan anda beberapa meter ke hadapan. Oleh itu, bagi mengelakkan pertembungan dengan kenderaan dari arah hadapan, anda hendaklah membunyikan hon sebelum melalui mana-mana selekoh agar kenderaan lain mengetahui kehadiran kenderaan anda. Sudah sampai di puncak, anda boleh menyusuri denai No. 1 untuk turun.

      Terpulang kepada anda untuk memilih cara yang sesuai dengan kecergasan anda. Kami memilih cara no. 1 kerana ia lebih mengujakan dan kami memilih waktu petang kira-kira jam 3 untuk memulakan pendakian. Bagi saya, pemandangan ladang teh di waktu senja adalah lebih cantik.

     
     Terdapat beberapa menara pancaran siaran televisyen dan radio di puncak. Turut disediakan adalah menara tinjau untuk menyaksikan pemandangan 360 darjah di sekeliling Brinchang. Anda kenalah bergilir-gilir untuk naik. 


Menara penerima gelombang televisyen dan radio
Kami beruntung kerana hanya kami berempat yang ada sewaktu tiba di sana. Angin kuat yang mungkin suhunya mencecah 10 darjah selsius terus menerpa ke muka apabila menaiki menara tinjau tersebut dan ia tetap menyeronokkan.

     Kami menamatkan aktiviti hari itu dengan berkunjung ke Pasar Malam Pekan Brinchang. Di sanalah anda boleh membeli buah strawberi dengan harga murah. Sepaket kecil ada yang berharga RM2. Tidak hairan lah Pekan Brinchang menjadi tumpuan pelancong di hujung minggu kerana pasar malam itu menyediakan variasi makanan dan produk tempatan yang pelbagai. Ia hanya wujud di hari Jumaat dan Sabtu.



Jangan lupa follow saya di instagram dan twitter; @awnasip. Like page Wafi Nasip Reverie di Facebook.


0

copyright © . all rights reserved. designed by Color and Code

grid layout coding by helpblogger.com