Kuala Penyu ialah pekan kecil yang terletak kira-kira 114km dari Kota Kinabalu dan 44km dari Pekan Beaufort. Pengunjung dari luar boleh berkunjung melalui Labuan ke Menumbok yang hanya mengambil masa 20 minit dengan menaiki bot laju(speedboat) sebaliknya 1 jam 30 minit jika menaiki feri. Dari Menumbok, pengunjung boleh memilih bas atau van penumpang untuk ke Kota Kinabalu atau Kuala Penyu.
Pantai Tempurung |
Majoriti penduduk di sini adalah berbangsa Kadazan atau Dusun. Kuala Penyu dulunya adalah kawasan paya bakau. Pekan ini masih di awal proses pembangunan namun apa yang sangat menarik adalah kewujudan pantai-pantai di sekitar Pekan Kuala Penyu. Bahkan, ia merupakan salah satu pintu masuk ke Pulau Tiga. Saya pernah berkunjung ke Pantai Tempurung dan Pantai Sawangan yang terletak tidak lebih 15 minit perjalanan menaiki kereta dari pekan.
Pantai Sawangan |
Jambatan di Pantai Sawangan |
Pantai Tempurung memang sesuai untuk menyaksikan matahari terbenam kerana berhadapan dengan arah barat. Namun, bagi saya ia tidak sesuai untuk aktiviti kekeluargaan bersama anak-anak kecil kerana ombaknya yang sentiasa bertenaga. Pantai Sawangan pula memang menjadi pilihan penduduk tempatan untuk beriadah dan melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan. Di sana juga disediakan pondok-pondok kecil dan lodge untuk penginapan; Sawangan Beach Lodge. Dan apa yang menarik bagi saya adalah wujudnya jambatan atau pelantar dari pantai ke tengah laut sepanjang 100 meter ataupun lebih. Di sanalah, para pemancing meluangkan masa untuk mempertaruhkan joran masing-masing.
Selain daripada pantai, Pekan Kuala Penyu juga menarik dengan adanya Tamu Besar Selasa dan tanaman pokok rumbia untuk penghasilan sago dan ambulong atau tepung rumbia. Bukan itu saja, Kuala Penyu terletak berdekatan dengan lokasi kunjungan pelancong untuk menyaksikan monyet belanda di waktu siang dan kelip-kelip di waktu malam dengan menaiki river cruise.