Mendaki Gunung Brinchang, Cameron Highland

Pahang adalah antara negeri yang kaya dengan keluasan hutan simpan dan gunung-ganang. Cameron Highland menjanjikan kepuasan kepada mereka yang teringin merasai suasana dingin dan sejuk di tanah tinggi. Selain terkenal dengan tanaman strawberi dan ladang teh yang terbentang luas, Cameron Highland juga menyajikan peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri secara lebih dekat akan panorama alam di sekitarnya.

Kawan saya di lereng Gunung Berinchang
 Apartment ini sebagai landmark yang boleh dijadikan petunjuk mencari titik mula Jungle Walk No.1




Simpang menuju titik mula Jungle Walk No.1
    Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sana adalah jungle trekking dan hiking ke puncak Gunung Berinchang. Beberapa denai hutan dibuka untuk menjadi pilihan penggemar-penggemar aktiviti merentas hutan. Antara laluan yang menjadi pilihan ramai adalah Jungle Walk No. 1. Laluan ini berakhir di puncak Gunung Berinchang.

     Walaupun pertama kali berada di Cameron Highland, saya dan tiga orang kawan baik mengambil peluang mendaki gunung yang beraltitud 2,032 meter itu. Untuk ke puncak, ada dua pilihan iaitu:

Papan Tanda di titik permulaan Jungle Walk No. 1
1. Memulakan pendakian berjalan kaki sejauh 3 km dari titik permulaan Jungle Walk No. 1 iaitu dari Pekan Brinchang. Titik mula terletak di simpang selepas Pekan Brinchang. Simpang tersebut terletak sebelah kiri jalan utama berhadapan sebuah apartment. Anda boleh parkir kenderaan anda di tempat yang disediakan sebelum denai hutan itu. Anda akan melalui kebun-kebun sayur dan merentasi hutan gunung.



Papan tanda di pertengahan pendakian

Jangan risau, denai yang dilalui mudah untuk dikesan. Mana-mana laluan yang popular adalah lebih sukar untuk sesat. Beberapa papan tanda diletakkan sepanjang laluan denai menandakan jarak yang sudah dilalui. Pendakian kami mengambil masa 1 jam dan 30 minit. Untuk kembali ke pekan, anda boleh menyusuri kembali laluan tadi atau jalan bertar sepanjang 12km untuk tiba di Pekan Berinchang.


Pintu masuk ke Mossy Forest

     Dalam perjalanan turun melalui jalan raya bertar itu, anda akan tiba di pintu masuk ke Mossy Forest. Laluan kayu ada disediakan untuk menyusuri hutan yang unik itu. Selepas laluan kayu itu tamat, anda boleh teruskan perjalanan anda ke Gunung Irau, gunung tertinggi di Cameron Highland selepas Gunung Berinchang. Namun, kami belum lagi berpeluang untuk ke gunung itu. Walaupun memenatkan, usaha anda berbaloi kerana anda akan menyaksikan pemandangan ladang teh BOH Sungai Palas yang terbentang luas menghijau. Anda juga akan melalui kebun-kebun sayur seperti kobis. Jumlah jarak yang kami tempuhi dari awal pendakian sehingga tiba semula di Pekan Brinchang adalah 15 km.
 


Ladang Teh BOH, Sungai Palas


2. Cara kedua adalah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan. Kalau tak tahu mana nak tempah perkhidmatan ini, anda boleh memandu sendiri untuk sampai ke puncak. Namun, awas kerana jalan tersebut sempit dan berliku-liku. Ada beberapa selekoh yang membataskan penglihatan anda beberapa meter ke hadapan. Oleh itu, bagi mengelakkan pertembungan dengan kenderaan dari arah hadapan, anda hendaklah membunyikan hon sebelum melalui mana-mana selekoh agar kenderaan lain mengetahui kehadiran kenderaan anda. Sudah sampai di puncak, anda boleh menyusuri denai No. 1 untuk turun.

      Terpulang kepada anda untuk memilih cara yang sesuai dengan kecergasan anda. Kami memilih cara no. 1 kerana ia lebih mengujakan dan kami memilih waktu petang kira-kira jam 3 untuk memulakan pendakian. Bagi saya, pemandangan ladang teh di waktu senja adalah lebih cantik.

     
     Terdapat beberapa menara pancaran siaran televisyen dan radio di puncak. Turut disediakan adalah menara tinjau untuk menyaksikan pemandangan 360 darjah di sekeliling Brinchang. Anda kenalah bergilir-gilir untuk naik. 


Menara penerima gelombang televisyen dan radio
Kami beruntung kerana hanya kami berempat yang ada sewaktu tiba di sana. Angin kuat yang mungkin suhunya mencecah 10 darjah selsius terus menerpa ke muka apabila menaiki menara tinjau tersebut dan ia tetap menyeronokkan.

     Kami menamatkan aktiviti hari itu dengan berkunjung ke Pasar Malam Pekan Brinchang. Di sanalah anda boleh membeli buah strawberi dengan harga murah. Sepaket kecil ada yang berharga RM2. Tidak hairan lah Pekan Brinchang menjadi tumpuan pelancong di hujung minggu kerana pasar malam itu menyediakan variasi makanan dan produk tempatan yang pelbagai. Ia hanya wujud di hari Jumaat dan Sabtu.



Jangan lupa follow saya di instagram dan twitter; @awnasip. Like page Wafi Nasip Reverie di Facebook.


0

Berbasikal Mengelilingi Pulau Labuan - Hari Kedua




Saya bangun pada 5:30 pagi. Hujan renyai-renyai sejak awal pagi lagi dan benar-benar sejuk. Tetapi, saya mengerah badan untuk berjalan kaki ke pantai dan membersihkan badan. Saya menggigil di kala angin bertiup. Kemudian,  makan sarapan dengan dua biji telur rebus dan air kosong. Saya tak bawa stove untuk mengurangkan beban dan menjimatkan ruang beg pannier yang terhad.


 

Saya mengemas semua barang dan memuatkannya ke dalam beg pannier. Rancangan untuk hari tu ialah untuk kembali ke bandar melalui laluan pantai alternatif untuk melengkapkan tour mengelilingi pulau. Baru mengayuh selama 10 minit, mula lah hujan lebat. Saya berteduh di perhentian bas dan menunggu hujan berhenti. 30 minit kemudian, saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan meredahi hujan memikirkan ia akan hujan sepanjang hari.

Mercu tanda pertama yang dilalui adalah Palm Beach Resort & Spa. Jalan raya mula mendaki dan saya terpaksa menolak basikal. Beberapa minit kemudian satu lagi mercu tanda dapat dilihat dari jauh, monumen Chimney.

 

Kemudian saya tiba di hadapan Taman Burung Labuan. Perjalanan  telah terhenti oleh anjing yang menyalak dari perhentian bas seratus meter di hadapan. Lagi! Jalan raya sangat mendaki menghalang untuk membuat pecutan. Hari sebelumnya saya berhenti tiga kali kerana anjing menyekat jalan dan menyalak. Saya hanya mampu menunggu sehingga anjing-anjing tu berlalu pergi.

 
Tetapi pada hari kedua, saya belajar silap mata dari seorang pekerja wanita di taman burung. Dia memberitahu untuk menolak basikal perlahan-lahan dan membawa kayu ketika berjalan di depan anjing itu dan saya bejaya tanpa sebarang kecederaan. Anjing tu hanya menyalak semasa saya menolak basikal di hadapannya. Saya pernah  dikejar oleh anjing semasa berbasikal di Kuala Penyu, Sabah.


Beberapa minit kemudian, perjalanan berhenti di Muzium Chimney dan berjalan terus ke tugu Chimney membawa Canon EOS M. Tiada bayaran masuk dikenakan. Saya tidak masuk ke dalam bangunan muzium kerana pakaian yang basah kuyup.








Tugu yang dikenali sebagai Chimney adalah salah satu mercu tanda bersejarah yang terkenal dan unik di Labuan. Menara bata merah itu dipercayai dibina pada awal 1900-an apabila perlombongan arang batu berada di kemuncaknya di Tanjung Kubong di bawah pentadbiran British North Borneo Chartered Company. Tujuan tepat dan fungsinya masih tidak diketahui sehingga hari ini.







Jalan raya selepas itu mula turun dan kembali menjadi jalan pantai. Saya dapat melihat tanah besar di sebelah kiri. Seberang sana adalah daerah Menumbok, Sabah. Beberapa kumpulan berbasikal lebuhraya memintas saya. Mungkin itu adalah aktiviti rekreasi mereka di hujung minggu dengan mengelilingi Labuan dalam tempoh yang singkat.






Anjung Ikan Bakar
Anda boleh singgah di dua restoran makanan laut yang terkenal; Anjung Ikan Bakar dan Anjung Ketam tetapi saya hanya memperolehi ulasan untuk Anjung Ketam di tripadvisor.com. Anjung Ketam terletak di Tanjung Aru di dalam kawasan kampung.




Anjung Ketam


Satu papan tanda besar di tepi jalan  menandakan satu simpang ke restoran tetapi anda tidak dapat melihat restoran dari jalan raya.

Jalan raya menjadi lebih sibuk kerana saya kembali memasuki kawasan bandar. Lapangan Terbang Labuan di sebelah kiri saya menandakan bahawa saya telah memasuki kawasan bandar. Apabila anda berbasikal di bandar, sila peka dengan persekitaran anda terutama apa yang ada di belakang. Kebanyakan pemandu akan menyedari kehadiran penunggang basikal di hadapan, tetapi malang tidak berbau. Berhati-hati.






Destinasi saya adalah Taman Peringatan Perang aka Tanah Perkuburan Perang Labuan. Hujan masih turun renyai-renyai. Saya adalah satu-satunya pelawat ketika tu dan mula berasa hiba tertanya-tanya apakah yang pernah dilakukan askar-askar itu ketika masih hidup. Kemudian bunyi nyaring datang dari atas ketika dua jet Tentera Udara terbang di atas tanah perkuburan. Di tanah perkuburan tersebut telah bersemadi 3908 tentera ANZAC dan sebilangan penduduk tempatan dari era Perang Dunia II.












Terdapat buku daftar Memorial dan Perkuburan di dinding struktur di sana.




 


Ini adalah apa yang saya baca dari http://www.dva.gov.au

It is the only war cemetery in North Borneo and contains, as well as the graves from Sandakan, about 500 from Kuching where there was another large prisoner of war camp. The total number of burials is 3,908. The large number of unidentified graves is due to the destruction of all the records of the camps by Colonel Suya, the Japanese commandant, before the Australians reached Kuching, his headquarters. When apprehended, Suya committed suicide rather than face questioning on his conduct of the Borneo camps.

Sudah 11:00 pagi dan menyedari bahawa saya akan sempat menaiki feri ke Limbang pada pukul 2:00 petang. Rancangan asal saya adalah untuk tinggal di Labuan semalam lagi kerana saya jangka akan menamatkan tour itu lewat petang.


Labuan Square


Terminal Feri Antarabangsa Labuan terletak hanya kira-kira 3 km dari tanah perkuburan itu. Beberapa tempat menarik dalam perjalanan adalah Financial Park aka Ujana Kewangan dan Dataran Labuan (Dataran Labuan).








Jumlah jarak yang saya lalui hari ini adalah 22 km bermakna jumlah keseluruhan jarak mengelilingi Pulau Labuan adalah 54 km. Boleh saja kalau nak buat dalam masa 1 hari sahaja. Tapi tujuan adalah untuk menikmati permandangan sepanjang perjalanan. Buat 2 hari lagi bagus.


Baca selanjutnya di sini untuk hari pertama










0

Berbasikal Mengelilingi Pulau Labuan - Hari Pertama

Labuan adalah salah satu pintu masuk utama ke Malaysia Timur. Ia adalah sebuah wilayah bebas cukai kerajaan persekutuan, jadi beberapa barangan pengguna di sana adalah lebih murah berbanding tempat lain. Banyak kapal pelbagai saiz berlabuh di Labuan kerana nama itu sendiri berasal dari labuhan perkataan Melayu yang bermaksud pelabuhan.


Saya selalu menjadikan Labuan sebagai transit sebelum berlepas ke Kuala Lumpur atau pulang ke rumah saya di Limbang, Sarawak. Walau bagaimanapun, saya belum pernah benar-benar meneroka pulau itu kerana hanya sempat melawat kawasan bandar utama di mana anda boleh membeli cenderamata, paling femes variasi produk coklat pada harga yang lebih murah. Minuman beralkohol tak payah sebut, memang merata tempat dijual.

Rancangan yang sudah berusia setahun untuk meneroka pulau itu dengan basikal sempat saya laksanakan Jumaat lepas. Saya membawa basikal sendiri dari Limbang.


Anda boleh pergi ke Labuan dari Limbang dengan menaiki feri penumpang yang bertolak dua kali sehari pada pukul 8:00 pagi dan 2.30 petang. Tambangnya ialah RM15 bagi penduduk tempatan dan RM30 untuk warga asing. Kami juga pernah membayar RM30 untuk perjalanan sehala tetapi kerajaan memberikan subsidi tambang  beberapa tahun yang lalu untuk menggalakkan pelancongan dan perniagaan tempatan.

Saya tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada jam 10:00 pagi. Terdapat feri ke Brunei, Kota Kinabalu, Menumbok dan Lawas juga. Anda juga boleh menaiki bot laju ke Sipitang dan Menumbok. Anda boleh menyewa kereta atau basikal di terminal. Harga sewa basikal adalah RM3 untuk satu jam atau RM20 untuk sehari tetapi saya sudah mempunyai basikal. Saya mengambil masa satu jam untuk mempersediakan basikal untuk tour kali ini.

Saya mula berbasikal pada jam 11:00 pagi apabila hari bertukar mendung. Rancangan saya adalah berbasikal mengikut arah jam bermakna pemandangan laut akan berada di sebelah kiri saya.


Tidak ada laluan basikal yang disediakan kecuali lorong kecemasan di tepi jalan.
Walau bagaimanapun ada masanya di mana saya terpaksa menggunakan laluan pejalan kaki yang tidak berturap di tepi jalan apabila tidak ada lorong kecemasan disediakan. Cabaran pertama yang saya hadapi adalah lalu lintas yang sibuk di bandar.
 

Saya melalui perkampungan air Kampung Patau-Patau 2 & 1 di mana rumah-rumah dibina betul-betul di atas air. Terdapat penginapan homestay di sana di mana anda boleh mengalami gaya hidup tempatan.

Masalah kedua adalah tayar depan pancit sewaktu melalui jalan pejalan kaki yang tidak berturap. Ia mengambil masa hampir sejam menukar tiub dan kembali mengayuh di jalan raya kerana saya ada masalah dengan pam yang baru dibeli.

Jalan raya menjadi kurang sibuk setelah memasuki jalan ke kawasan luar bandar. Destinasi saya untuk hari pertama adalah Pantai Panchor Hitam di Kampung Pohon Batu. Saya menggunakan laluan yang paling panjang kerana saya mahu melihat lebih banyak tempat-tempat di sepanjang perjalanan.

Saya berhenti di sebuah tokong Buddha besar di tepi jalan dan sempat mengambil 2-3 gambar sebelum dua anjing di tokong itu mula menyalak untuk memberi amaran kepada mana-mana penceroboh. Saya sudah menetapkan tripod untuk mengambil gambar tetapi terpaksa cabut.

Perhentian seterusnya adalah Taman Ekologi Bakau Kina Benuwa, Terminal Gas Petronas dan Kampus Antarabangsa Labuan UMS. Terdapat sebuah restoran di tepi sungai yang indah di sungai Kina Benuwa. Kampus universiti pula terletak di tepi pantai dan pelajarnya bernasib baik untuk mempunyai pantai berpasir putih dan pemandangan laut yang indah.







 
Selepas rehat tengah hari, perjalanan adalah kurang memenatkan kerana saya benar-benar menikmati pemandangan pantai yang indah. Jalan itu dibayangi oleh pokok-pokok rendang. Banyak bot nelayan dibiarkan tersadai di pantai. Anda boleh makan di gerai-gerai yang baik di sepanjang jalan.






Kemudian, saya melalui sebuah pekan kecil, Layang-Layangan tetapi tidak berhenti rehat kerana destinasi sebenar masih beberapa kilometer di hadapan. Lebih-lebih lagi, ia sudah 4:00 petang dan saya perlu mendirikan khemah. Tetapi, ada tempat-tempat bersejarah yang terkenal di sana; Surrender Point dan Taman Damai Labuan.

Akhirnya, saya tiba di Pantai Panchor Hitam. Saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi pantai paling panjang yang pernah saya lawati. Pokok She-oak atau ru tumbuh di sepanjang pantai. Ia mewujudkan adegan yang indah dan rasa seperti berada dalam filem drama desa/ countryside.





Infrastruktur rekreasi telah dibina di bawah pokok-pokok. Terdapat laluan pejalan kaki, bangku, meja berkelah dan pondok untuk kegunaan awam. Saya boleh memberi anda idea bagaimana keadaan tempat itu sebenarnya dengan membahagikannya kepada beberapa lapisan; laut, pantai berpasir, pokok she-oak, jalan raya dan rumah-rumah penduduk setempat. Ia merupakan destinasi yang sempurna untuk merehatkan minda dan badan anda sambil menikmati pemandangan yang indah.
  

Struktur tidak bernama di pantai tu

  



Saya  mendirikan khemah di lokasi sesuai di tepi pantai di bawah pokok-pokok ru kemudian, berbasikal semula ke gerai-gerai tepi pantai yang dilalui tadi. Gerai-gerai tersebut adalah salah satu kemudahan di pantai dan dibayangi oleh pokok-pokok besar. Saya memesan air kelapa, Milo ais dan nasi goreng ayam serta mi goreng untuk supper nanti. Makanan tidaklah begitu sedap tetapi saya benar-benar menikmati minuman yang dihidangkan.






Saya melipat basikal dan memasukkannya ke dalam kemah. Malam tu sungguh berangin, jadi tidak boleh menyediakan unggun api dan angin sentiasa bertiup sepanjang malam. Seolah-olah kereta lumba sedang memecut laju ketika pokok she-oak ditiup angin pantai.







Pandangan pada waktu senja sungguh cantik dan beberapa penduduk kampung masih menuntul (mencari tuntul, spesies siput) di pantai.


 Perjalanan hari ni sejauh 32 km, tidak sampai separuh jumlah perjalanan yang saya boleh buat dalam satu-satu hari. Paling jauh pernah saya lalui dalam sehari adalah 95 km, mengambil masa 12 jam dari Limbang ke Merapok.





 



 








0

copyright © . all rights reserved. designed by Color and Code

grid layout coding by helpblogger.com